Khamis, 18 Februari 2010

Seminar Plan Tindakan Desa

Seminar Pelan Tindakan Desa : Ke Arah Desa Maju Menjelang Tahun 2020



Rujukan : INFRA/PA 100-8/3/1 (      )
Tarikh : 9 Februari 2010
BANGI, 9 Feb. –  Meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan memberi pendedahan awal kepada JKKK/JKKKP tentang perancangan pembangunan dan pengurusan kampung menjadi fokus utama Seminar Pelan Tindakan Desa anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Seminar tiga hari itu dihadiri oleh 250 peserta terdiri daripada Pengerusi dan Setiausaha JKKK/JKKKP dari 125 buah kampung di seluruh negara.  Pelan Tindakan Desa (PTD) merupakan dokumen perancangan pembangunan kampung bagi tempoh jangka masa pendek antara tiga hingga lima tahun yang disediakan oleh JKKK/JKKKP bersama masyarakat kampung menerusi sesi percambahan fikiran. Ia disediakan menerusi pendekatan perancangan bawah ke atas (bottom up approach).
Pelancaran Pelan Tindakan Desa yang telah dirasmikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 29 Januari 2009 telah menampakkan keberkesanan dan manfaatnya kepada masyarakat kampung apabila 34 buah kampung telah berjaya menerima peruntukan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) 2 untuk melaksanakan projek pengupayaan ekonomi desa masing-masing. 
Kampung Kangka Sempadi, Lundu, Sarawak misalnya berjaya melaksanakan projek pendidikan celik IT yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah manakala JKKK pula dapat menjana pendapatan melalui penyewaan komputer, perkhidmatan internet dan cetakan.  Kampung Kuala Nal, Kuala Krai, Kelantan pula telah menerima peruntukan untuk menambahbaik bengkel dan membeli peralatan jahitan yang dapat memberi peluang meningkatkan pendapatan kaum wanita di kampung tersebut.
Seminar ini diharapkan dapat meningkatkan pemahaman dan menjadi persediaan awal JKKK/JKKKP dalam penyediaan Pelan Tindakan Desa bagi merealisasikan matlamat untuk mencapai negara maju pada tahun 2020.

Dikeluarkan oleh :   Bahagian Perhubungan Awam dan Penerbitan
Institut Kemajuan Desa (INFRA)
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
9 Februari 2010