Sejarah Penubuhan UMNO
Satu himpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 dan seramai 41 Pertubuhan-pertubuhan NGO Melayu telah menghantar wakil masing-masing.Dato’ Onn bin Jaafar dari Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak.
Tiga usul telah dululuskan oleh Kongres seperti berikut:
1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
2. Membantah pertubuhan Malayan Union
3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu
Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf Piagam atau Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.
Walaupun ada bangkangan yang hebat dari kaum Melayu, Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946 mengwujudkan Malayan Union. Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union. Pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru.
Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) telah berlangsung dan Piagam atau Perlembagaan (UMNO) telah diterima dan diluluskan oleh para peserta dan UMNO pun lahirlah secara rasmi.
UMNO hari ini dikenali sebagai parti yang terbesar dan menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak dan pemimpin-pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar. Ia adalah antara parti bercorak demokratik yang tertua di negara-negara membangun dan masih kuat kedudukannya setelah melalui berbagai peristiwa dan cabaran. Ia dihormati oleh kawan dan lawan di atas prinsip-prinsip keadilannya, ketegasan dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui.
Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu. Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia Yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.
Di bawah rancangan British, dasar pro-Melayu sebelum Perang akan dirombak sekaligus, dan orang-orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini terpaksa bersaing dengan orang-orang mendatang, iaitu suatu kejadian yang tidak diduga sama sekali oleh mereka kerana sepanjang penjajahan British mereka diberi perlindungan dari ancaman golongan-golongan tadi di samping jaminan bahawa ini adalah negeri Melayu yang diperintah bagi pihak Raja-Raja Melayu.
Rancangan Malayan Union yang dipaksakan ke atas mereka tanpa sebarang rundingan adalah amat menggemparkan. Jika sebelum ini orang-orang Melayu berpecah-pecah dengan berbagai sentimen kenegerian dan pemandangan yang sempit, sekarang mereka yang mula melihat realiti di depan mereka, telah bangkit menentang rancangan itu. Kebangkitan ini merupakan reaksi yang spontan dengan orang-orang Melayu bersatu hati dan tenaga agar kedudukan mereka terpelihara.
Penubuhan UMNO pada 11hb Mei 1946, dengan Dato' Onn bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju.
Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai factor penghalang, penekanan oleh penjajah, tendensi masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, ketiadaan kesedaran politik yang meluas serta terdapat kemakmuran ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat.
Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara meluas itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat yang sejak beberapa lama merupakan penduduk asal kepada kawasan ini. Seluruh penentuan hidup di negara ini sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu.
Tetapi nasionalisme ini bukan suatu yang sempit kerana telah diperluaskan untuk merangkumi lain-lain kaum demi perpaduan dan kestabilan negara. Di peringkat awal pergerakan kearah kemerdekaan adalah disedari tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksakan politiknya dan menolak kenyataan hadirnya kaum-kaum lain yang juga berhak untuk menyertai dalam politik negara. Usaha-usaha dibuat bagi mengeratkan kerjasama di antara kaum sehingga tertubuhnya Perikatan UMNO-MCA pada awal 1952 bila kedua-dua parti ini bertanding dalam pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur. Kemenangan telah diperolehi oleh kedua-duanya dan ini membawa kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan.
Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum. Dengan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, kemenangannya yang cemerlang telah diperolehi. Maka jelaslah kepada pihak penjajah bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka
UMNO lahir atas kesedaran dan kehendak para perwakilan yang menghadiri Kongres Melayu Se-Malaya yang pertama pada 1 – 4 Mac 1946.
Selepas Kerajaan Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945, kerajaan British telah menghantar bala tenteranya untuk menguasai semula Semenanjung Tanah Melayu, dan serentak membawa perubahan redikal terhadap pemerintahan negeri-negeri Melayu. Melalui tipu hela, Raja-raja Melayu telah dipengaruhi supaya menandatangani perjanjian dengan Harold MacMicheal bagi menyerahkan kuasa pemerintahan serta kedaulatan kepada Kerajaan British. Negeri-negeri Melayu bersama Melaka dan Pulau Pinang disatukan di bawah Kesatuan Malaya atau Malayan Union dan ditadbirkan sebagai jajahan takluk British.
Apabila cara pemerintahan baru di Semenanjung Tanah Melayu diumumkan di Parlimen British pada 10 Oktober 1945, maka orang-orang Melayu dari Perlis ke Singapura, melalui persatuan masing-masing, berkumpul dan bersuara membantah penubuhan Malayan Union. Satu perhimpunan besar-besaran yang pertama telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.
Ketetapan yang telah dipersetujui di Kongres tersebut adalah:
1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO
2. Membantah Penubuhan Malayan Union
3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu
Suatu Jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyediakan Piagam atau Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau UMNO, dan Perlembagaan itu telah diterima oleh perhimpunan yang bersidang di Johor Bahru pada 11 Mei 1946 dan pada tarikh tersebut UMNO selamat dilahirkan dengan rasminya.
Perjuangan UMNO yang pertama adalah membangkang penubuhan Malayan Union. Melalui akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu dan Majlis, suara orang Melayu menentang Malayan Union dapat diketahui. Pemimpin UMNO berjaya menasihatkan Sultan-sultan melayu supaya tidak menghadiri upacara perlantikan Gabenor Malayan Union yang pertama, Edward Gent, dan secara simbolik memanifestasikan kemarahan dan bangkangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union.
Dua bulan selepas wujudnya Malayan Union, Kerajaan British telah mengubah pendirian dan bersedia mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil UMNO dan Sultan-sultan bagi mewujudkan satu kerajaan persekutuan baru. Rundingan ini berlangsung hingga 21 Januari 1948 apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh Raja-raja Melayu dengan wakil kerajaan British yang mengembalikan semula kuasa-kuasa dan kedaulatan Sultan-sultan. Secara rasmi Persekutuan Tanah Melayu dilahirkan pada 1 Februari 1948.
Kerajaan Persekutuan Tanah Malayu ditadbir oleh Pesuruhjaya Tinggi dan dibantu oleh beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan termasuk Yang Di Pertua UMNO, Dato Onn bin Jaafar yang telah diberi tanggunjawab sebagai Ahli (Member) Hal Ehwal Dalam Negeri. Semasa memegang jawatan itu, Dato Onn telah menubuhkan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau Rural and Industrial Development Authority (RIDA) yang bertujuan membantu orang-orang Melayu mencebur dalam bidang perusahaan. Pemerintahan di peringkat Negeri pula adalah di bawah kuasa Menteri Besar dibantu oleh Penasihat British.
Pada bulan Jun 1948 pengganas dari parti Komunis Malaya telah melakukan pembunuhan liar dan pembinasaan terhadap harta awam dan persendirian menyebabkan Kerajaan Persekutuan mengisytihar Darurat pada 16 Jun 1948. Bagi menghadapi ancaman komunis ini, UMNO telah menggembelingkan tenaga orang Melayu lelaki dan perempuan supaya menyertai pasukan bersenjata termasuk polis khas dan pengawal kampong.
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu mengandungi peruntukan berkenaan pilihanraya umum bagi membolehkan rakyat memilih wakil-wakil mereka ke Dewan Perundangan dan seterusnya memerintah sendiri sebagai negara merdeka.
Langkah pertama yang dilakukan oleh UMNO adalah berkerjasama dengan Persatuan Cina Malaya (MCA) bagi merebut kerusi pilihanraya majlis tempatan, iaitu Majlis Munisipal Kuala Lumpur pada tahun 1951. Kerjasama ini telah membawa kejayaan cermerlang dan dengan sokongan yang diberi kemudian oleh Kongres India Malaya (MIC) maka satu gabungan parti yang diberi nama Perikatan (Alliance) telah ditubuh bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama pada 27 Julai 1955 yang berkesudahan dengan Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi bagi Majlis Perundangan Persekutuan. Yang diPertua UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra telah dilantik menjadi Ketua Menteri dan Menterinya terdiri dari wakil rakyat yang dipilih dan juga pegawai pentadbir British yang dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi.
Dengan kejayaan cermerlang yang dicapai oleh Parti Perikatan, dalam pilihanraya 1955, UMNO terus berazam untuk mendapatkan kemerdekaan penuh. Rundingan demi rundingan telah diadakan di London di antara wakil-wakil Perikatan yang diketuai oleh Yang DiPertua UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra, wakil-wakil Raja-raja Melayu dan wakil-wakil Kerajaan British dan akhirnya persetujuan telah tercapai bagi kemerdekaan Tanah Melayu sebagai Negara yang merdeka dan berdaulat mulai pada 31 Ogos 1957.
Pada 27 Mei 1961 Tunku telah mencadangkan supaya ditubuhkan Melayu Raya dengan merangkumi, Borneo Utara (Sabah), Brunei, Sarawak dan Singapura dan konsep ini diterima baik oleh hampir semua pihak. Suruhanjaya peninjau (Cobbold Commission) dan penyiasat dari Bangsa-bangsa Bersatu telah membuat laporan positif dan setelah diadakan rundingan dengan pihak-pihak yang terlibat, maka Negara Malaysia yang terdiri dari Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura wujud dengan rasminya pada 16 September 1963. Singapura keluar dari Malaysia hamper dua tahun kemudian dan menjadi sebuah Rupublik pada 9 Ogos 1965.
Sebagai Negara merdeka dan berdaulat, UMNO menjadi tulang belakang dalam Kerajaan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, dan tidak putus-putus bergerak untuk mengisi makna kemerdekaan.
Usaha membangunkan negara dalam semua bidang dimulakan dengan wujudnya Rancangan Pembangunan Jangkapanjang dan Rancangan pembangunan bagi tiap-tiap lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama (1956-60) hinggalah Rancangan Malaysia Ke-7 bagi 1996-2000.
Tujuan utama Rancangan pembangunan negara adalah, di antara lain, meningkatkan taraf politik dan sosio-ekonomi rakyat, menentukan kesalamatan rakyat dari ancaman musuh baik dari dalam atau luar negari, memperkembangkan ekonomi negara dan menyediakan prasarana yang berkesan.
Pilihanraya umum bagi memilih wakil rakyat untuk Dewan Perundangan Persekutuan telah diadakan pada tahun 1955 dan untuk Dewan Rakyat pada tahun 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990 dan 1995.
Pilihanraya juga diadakan bagi memilih ahli untuk Dewan-dewan Undangan Negeri.
Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah menang dengan cemerlang setiap kali diadakan pilihanraya Persekutuan dan berjaya memegang teraju pemerintahan berturut-turut semenjak 195Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah menang dengan cermerlang setiap kali diadakan pilihanraya Persekutuan dan berjaya memegang teraju pemerintahan berturut-turut semenjak 1955. Kejayaan ini adalah disebabkan oleh keazaman pimpinan dan anggota UMNO dan sokongan rakyat jelata umumnya terhadap dasar dan program yang disediakan oleh UMNO dan rakan-rakannya.
Ahli-ahli UMNO sebagai pengamal dan penyokong demokrasi, memilih pemimpin mereka di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Tertinggi dan persidangan perhimpunan agong juga diadakan tiap-tiap tahun bagi membolehkan ahli-ahli mengetahui perjalanan parti, menentukan dasar-dasar dan mengesan pembangunan negara.
Salah satu agenda tuntutan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh UMNO sejak penubuhannya pada 11 Mei 1946 ialah penguasaan orang-orang Melayu ke atas ekonomi negara sendiri yang ketika itu berada di tangan penjajah dan kaum Cina.
Tanah Melayu ketika itu (termasuk Singapura) yang mempunyai penduduk 4.91 juta merupakan bumi yang dikurniakan oleh Allah dengan kekayaan alam seperti bumi yang subur dan hasil bumi yang berharga.
Ekonomi Tanah Melayu pada 1947 bersandarkan kepada getah dan bijih timah di mana 89 peratus daripada pendapatan negara bergantung kepada kedua-dua komoditi ini. Keluaran Negara Kasar Sebenar (RGDP) adalah RM2,982 juta dan dua tahun kemudian meningkat kepada RM3,027 juta, bertambah sebanyak 1.5 peratus.
Bagaimanapun Perang Korea yang meletus pada 1950 telah membawa nikmat kepada penanam getah dan pelombong timah serta ekonomi Tanah Melayu. Purata pertubuhan ekonomi negara dari 1947 hingga 1960 adalah pada kadar 4.5 peratus.
Apabila Tanah Melayu merdeka pada 1957, kepimpinan UMNO dan kerajaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra selaku Perdana Menteri pertama memilih dasar ekonomi pasaran bebas tetapi terpimpin dan memperkenalkan berbagai program pembangunan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat.
Ia bermula dengan rancangan pembangunan lima tahun yang dimulakan dengan Rancangan Tanah Melayu Pertama (1956-60) dan Rancangan Tanah Melayu Kedua (1961-65) dan kemudiannya diteruskan oleh Rancangan Malaysia Pertama (RMK 1-1966-70) RMK 2 (1971-75) dan seterusnya RMK7 yang dilancarkan pada Mei 1996.
Bagi membangunkan penduduk luar Bandar, kerajaan melaksanakan Rancangan Pembangunan Luar Bandar dengan membina jalan-jalan raya, bekalan api dan air, sekolah-sekolah, klinik, masjid dan berbagai kemudahan lagi.
Namun satu masalah sosio-ekinomi yang diwarisi sejak zaman penjajah ialah di tahun-tahun awal kemerdekaan, kedudukan ekonomi yang dicerminkan mengikut kaum iaitu orang-orang Melayu menjadi petani, orang-orang Cina menguasai perdagangan dan perindustrian serta perlombongan manakala orang-orang India menjadi buruh di lading-ladang getah.
Terpinggirnya orang-orang Melayu daripada penguasaan ekonomi Negara menimbulkan kebimbangan di kalangan orang-orang Melayu, khasnya ahli-ahli UMNO. Oleh itu merekamenganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputra yang pertama pada 1965 dan Kongres Ekonomi Bumiputra kedua tiga tahun kemudian. Kebimbangan orang-orang Melayu terhadap masa depan mereka mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa berdarah itu telah melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DBE) yang dianggap satu dasar kontroversi tetapi penting. Di bawah DEB, masyarakat Malaysia disusunsemula supaya 30 peratus kekayaan Negara berada di tangan orang-orang Melayu, 30 peratus di tangan orang asing dan 40 peratus di tangan kaum Cina.
Apabila kepimpinan Negara diterajui oleh Datuk Seri Dr Mahathir, Malaysia mula memberi perhatian khusus kepada proses mengubah struktur ekonomi dengan memberi penekanan kepada sector perindustrian dan perdagangan
Dengan itu kerajaan memperkenalkan dasar PersyarikatMalaysia bagi mengatasi masalah birokrasi yang tidak sensitif terhadap dunia perniagaan dan program pembangunan. Di bawah dasar ini sector awam dan swasta menjadi rakan kongsi untuk membangunkan ekonomi Malaysia.
Di awal kepimpinannya Dr Mahathir berusaha memecah tembok psaikologi rakyat Malaysia, khasnya orang-orang Melayu yang terbelenggu dengan kepercayaan ‘kita tidak boleh membuat walaupun jarum’, dengan melancarkan projek perindustrian berat Negara yang dimulakan dengan projek kereta nasional, Proton.
Sehingga Malaysia dilanda kemelesetan ekonomi bermula 1083, ekonomi Malaysia masih bergantung kepada sector pertanian dengan getah, kelapa sawit, balak, selain timah menjadi bahan eksport utama. Di waktu inilah kerajaan memperkenalkan dasar penswastaan bagi meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat milik kerajaan di samping mengurangkan beban kerajaan yang menanggung syarikat tidak menguntungkan dengan gaji kakitangan yang basar. Sejak itu sehingga 1995, pertubuhan ekonomi Malaysia terus kukuh pada kadar purata 8 peratus setahun.
Pentadbiran Dr Mahathir telah menganjurkan Wawasan 2020 yang akan membawa Malaysia menjadi Negara maju pada tahun 2020.
Menjelang usia UMNO 50 tahun, dunia menyaksikan bagaimana Malaysia bertukar menjadi salah satu naga Asia Timur. Saranan Datuk Seri Dr Mahathir untuk mewujudkan Rundingan Ekonomi Asia Timur (EAEC) adalah untuk menjamin kurun ke-21 merupakan abad rantau ini. Tidak syak lagi, Malaysia akan terus menjadi sebuah Negara yang berpengaruh di dunia dengan kedudukan ekonomi yang kukuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan